Oleh ZUNAIDAH ZAINON
Sumber: Utusan Malaysia (11 Sept 2006)
AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga.Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu.
Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama."(Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi)
Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin.
Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan disamakan dengan nilai perak dan kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin. Bagaimanapun, ulama hari ini menyatakan, emas boleh digunakan bagi menggantikan perak. Bahkan, mengikut Islam juga, pada hari ketujuh akan dilakukan tahnik, jelas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz.
Menurut beliau, amalan tahnik adalah memasukkan sesuatu yang manis seperti manisan madu lebah atau buah tamar yang dihancurkan dan memalitkannya ke lelangit bayi. Sebaliknya, cecair manis hanya disapukan ke bibir bayi dan bukannya ke dalam mulut sebagaimana yang disunahkan oleh Rasulullah s.a.w..
Islam menggalakkan amalan mencukur rambut bayi sehingga botak supaya segala kekotoran yang keluar daripada rahim dapat dibuang dan membolehkan rambut baru tumbuh dengan sihat.
Sebahagian masyarakat Islam hari ini tidak mencukur rambut anak-anak hingga botak sebaliknya mengadakan upacara cukur jambul sebagai adat dan tradisi yang telah dilakukan sejak turun temurun. Tambah mengelirukan, rambut yang digunting itu dimasukkan ke dalam buah kelapa.
Memandangkan terdapat beberapa perkara yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam, maka ulama berpendapat, mengamalkan adat cukur jambul adalah bidaah dan khurafat. Paling menyedihkan apabila terdapat segelintir umat Islam yang cuba menghidupkan kembali kepercayaan seperti ini.
"Mengikut sesetengah pendapat, amalan cukur jambul adalah tradisi dan kepercayaan yang dilakukan oleh masyarakat India seperti menggunakan buah kelapa. Soalnya, kenapa menggunakan buah kelapa? Apakah relevan amalan sebegini dengan masyarakat Islam?"kata beliau.
Selain amalan-amalan di atas yang bertentangan dengan syariat agama, kesilapan yang turut dilakukan ibu bapa hari ini ialah akikah atau cukur rambut dilakukan setelah bayi berusia beberapa bulan. Majlis tersebut turut disertai dengan adat berendoi di mana buaian dihias dengan bunga-bungaan dan perhiasan lain.
Menurut Abu Hassan, upacara cukur rambut tidak perlu disertakan dengan marhaban atau berzanji. Ia memadai dengan bercukur rambut sahaja. Melainkan jika ia diadakan pada hari akikah, bolehlah diadakan jamuan.
"Tetapi kadang-kadang disebabkan rasa gembira dengan kehadiran orang baru dalam keluarga, kita mengadakan majlis secara besar-besaran hingga menampakkan unsur-unsur kemewahan. Perbuatan ini tidak menjadi kesalahan asalkan niat dan tujuan diadakan adalah ikhlas kerana Allah s.w.t.. Cuma dibimbangi sekiranya ia bertukar menjadi riak, maka ia adalah menjadi satu kesalahan," ulas beliau mengenai kecenderungan masyarakat hari ini yang gemar mengadakan majlis cukur jambul secara besar-besaran.
Masyarakat Islam harus faham bahawa sesuatu amalan yang dilakukan sama ada yang sudah menjadi tradisi dan kebiasaan tanpa bersumberkan nas atau dalil yang sah perlu ditolak. Apatah lagi apabila ia dikaitkan dengan kepercayaan dan tradisi agama lain.
Kebanyakan amalan yang dijadikan adat bagi orang Melayu dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang sekian lama diamalkan di negara ini. Berpandukan kepada sejarah, sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, penduduk asal negara ini ketika itu menganut agama Hindu.
Antara adat yang tidak boleh dipisahkan oleh masyarakat Melayu ialah persandingan dan menepung tawar pengantin ketika majlis perkahwinan. Walaupun Islam tidak melarang tetapi dari segi perlaksanaannya ia tetap bertentangan dengan syariat agama. Contohnya, menghiaskan pengantin dan ditambah dengan pelamin yang berhias bunga-bungaan dan sebagainya. Kemudian, pengantin diletakkan di atas pelamin dan diadakan upacara merenjis dan menepung tawar. Malah pengantin perempuan pada hari ini juga cenderung melukis pelbagai bentuk dan corak pada tangan mereka sedangkan ia jelas bertentangan dengan hukum Islam yang melarang sebarang lukisan dilakukan pada anggota badan.
"Sebenarnya terlalu banyak adat dan tradisi yang bertentangan dengan syariat tetapi masih tetap diamalkan oleh masyarakat Melayu. Sepatutnya semua perkara bidaah ini harus dihentikan demi menjamin kesejahteraan ummah. Justeru, demi kebaikan bayi yang dilahirkan supaya menjadi manusia yang berguna kelak, tidak seharusnya mereka didedahkan dengan perkara khurafat dan bidaah sejak masih kecil," tegas beliau.
Adat Cukur Jambul (Menurut Kebiasaan Amalan Masyarakat)
Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas bayi dilahirkan. Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan iaitu sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar, beras kunyit dan bertih.
Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk. Kemudian kelapa yang dihias dengan lilitan rantai emas atau perak disekelilingnya diletakkan di dalam sebiji batil. Kesemua rambut bayi yang dicukur akan dimasukkan ke dalam kelapa. Akhirnya kelapa tersebut di tanam di sekitar halaman rumah bersama sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu dilahirkan.
Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut diadakan. Dari segi syarak, akikah membawa pengertian menyembelih ternakan pada hari ke tujuh selepas anak dilahirkan. Akikah sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran iaitu boleh dijalankan serentak dengan adat mencukur rambut dan adat memberi nama. Namun ia juga boleh dilakukan pada hari yang lain.
Adat berendoi (Menurut Kebiasaan Amalan Masyarakat)
Semasa adat berendoi, bayi akan diletakkan di dalam buaian dengan menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan bunga-bungaan. Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan semasa upacara berlangsung. Ketika itu juga nazam atau marhaban dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita. Pada hari ini, masyarakat Melayu menjalankan adat ini serentak dengan adat memberi nama dan adat cukur rambut.
Sumber: Utusan Malaysia (11 Sept 2006)
diambil dari sini
5 Responses
Nadia
December 11th, 2009 at 8:58 am
1Saya tak rasa bercukur tu mendatangkan haram. Ia sebagai tanda kesyukuran yang diadakan serentak dengan akikah dan pemberian nama anak. bercukur tu kan sunnah juga. cuma rambut tu digunting oleh ramai orang yg datang. itu bukanlah suatu yang haram. lepas selesai upacara, budak tu akan dibotakkan juga akhirnya. Marhaban dan berzanji bukanlah haram. Ianya amalan memuji dan berselawat ke atas junjungan Nabi s.a.w. dan kaum keluarganya juga untuk memperingati saat2 kelahiran baginda yang penuh dengan keberkatan dan keajaiban untuk diingati generasi hari ini. Siapa yang tau nabi Muhammad lahir disambut oleh Siti Asiah dan Siti Mariam kalau tak dari karangan berzanji? siapa tau Nabi Muhammad lahir dah bercelak dan putus tali pusat kalau tidak dari karangan berzanji?
Ada ustaz kat Malaysia kata berzanji tu dikarang oleh puak syiah. itu lagi bid’ah. Yang karang berzanji tu mufti Mekah masa tu dan dia adalah ulamak Sunnah. Tak patut Ustaz tu cakap macam tu.
Fid
December 11th, 2009 at 9:06 am
2nadia
kalau cukur botak ok
yg isunya yg potong jambul tobek2 kepala baby
kalau kg saya depa potong tobek2 dan akhirnya botakkan juga
yg dikatakan bidaah tu yg amalkan bertih la pulut kuning la bagai2 yg merapu tu…bukannya amalan tu semata
MAJLIS keselruhan
elok diadakan marhaban berzanji bagai
tapi yg pulut kuning bertih entah apa2 tu
sunat lakukan ketika baby 7 hari tapi ada yg lakukan apabila baby dah besar…
marhaban berzanji dicampor lelaki wanita..bukan ke tak boleh tu?
Zaiton
December 15th, 2009 at 4:42 pm
3kalu kat kg akak, mmg kami botakkan rambut baby…tak kisah la laki ke pompuan.. sbb atuk yg buat cukur jambul tu suh ikut sunnah..kami takde buah2 kelapa ni…cuma dlm dulang tu ada kurma, raisin, air zam2, gula batu, garam, asam keping & cincin (gold kalu pompuan & bronze kalu laki2)..benda2 tu nanti calit kat mulut baby..nampaknya tu dah ada amalan tambahan kan??hisshhh jahilnya kita ni..
yuitsumuni.com/
December 15th, 2009 at 4:58 pm
4org kampungku juga memang botak licin goleng goleng
fitrie
January 12th, 2012 at 5:27 pm
5Assalamualaikum..
tertarik dengan apa yang diperkatakan dalam laman ini..
bagi sy, seorang yang belajar tentang adat serta kebuyaan Melayu…
adat dan budaya Melayu telah lama dimurnikan semenjak kedatangan Islam lagi..
perubahan berperingkat-peringkat dilakukan..
Mungkin ada yang pernah mendengar “adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah”.. sy mempelajarinya daripada seorang tokoh budaya Melayu – Tenas Effendy…
setiap yang dilakukan oleh orang Melayu itu berlandaskan pemikiran falsafah yang juga telah dimurnikan dengan islam..
adakah yang disalahkan adat dan budaya yang tidak difahami atau orang yang melakukan sesuatu tanpa ilmu dan pemahaman?
wsslm..
Comments RSS
TrackBack Identifier URI
CARI maklumat@yuitsumuni
Artikel yang ditulis atau dikumpul sebelum tarikh 4 April 2010 adalah artikel yang terhasil/terkumpul dengan campur aduk perasaann tanpa pengetahuan yang sepatutnya.Namun entry dan artikel selepas 4 April 2010 adalah entry/artikel yang lebih menjurus kepada promosi susu ibu yang sebenar..selepas menyertai Malaysian Breastfeeding Peer Counselor(MBFPC) Training.
RSS
Search@yuitsumuni.com
I’m on twitter
Comments
Recent Posts
Categories
Archives
Spam Blocked
Nuffnang Ads
MyPersonalBlog
I Am…
Mom’s
Entries (RSS) and Comments (RSS).
Copyright 2007 © *Sweetstory*: Breastfeeding&Parenting Tips © • Colon Cleanse navarre rentals Auto Loans Online • Brought by Free Wordpress Themes