*Sweetstory*: Breastfeeding&Parenting Tips ©

Parenting & Breastfeeding Blog:MEMARTABATKAN PENYUSUAN SUSU IBU

Cara merancang keluarga

daripada artikel surat khabar

 

Perancang Keluarga

Proses ovulasi
Telur yang dikeluarkan ovari menjadi matang setiap bulan. Pada pertengahan
kitaran tersebut, iaitu lebih kurang 14 hari selepas hari pertama haid
datang, telur ini dilepaskan. Proses ini dinamakan ovulasi. Hormon yang
bertanggung-jawab dalam proses ini ialah FSH, LH, estrogen dan progesteron.

Telur ini akan melalui tiub Fallopian dan di sini ia akan disenyawakan
dengan sperma lelaki.
Pada masa yang sama, berlaku dua perubahan :
Mukus di sekeliling serviks menjadi nipis dan cair. Ini memudahkan sperma
memasuki rahim dan sampai ke telur

Lapisan rahim menjadi lebih tebal. Ini supaya ia dapat menerima dan
menyuburkan telur yang disenyawakan.
Sekiranya persenyawaan berlaku, telur akan berkembang menjadi janin.
Sekiranya persenyawaan tidak berlaku, lapisan rahim yang tebal tersebut akan
digugurkan. Proses inilah yang dinamakan haid atau datang bulan.

Pil perancang
Cara ini adalah yang paling mudah dan popular untuk merancang keluarga.
Peratus kejayaannya bolehlah dikatakan 99%. Pil perancang mengandungi hormon
sintetik yang menyerupai hormon-hormon yang dikeluarkan oleh badan :
Estrogen dan progestogen – seperti Nordette, Microgynon, Gynera, Marvelon,
Minulet, Mercilon
Progestogen – jenama Noriday.
Jenis kedua (Noriday) kurang efektif tetapi sesuai untuk yang menyusukan
anak. Ia sesuai juga untuk orang yang alahan dengan estrogen.
Kandungan hormon sintetik ini yang tinggi di dalam badan menyebabkan
pengeluaran hormon FSH dan LH berkurangan. Akibatnya ovari tidak dirangsang
dan telur tidak dikeluarkan. Oleh itu persenyawaan tidak boleh berlaku.
Mukus di sekitar serviks pula menjadi pekat dan ini menyebabkann sperma
sukar untuk memasuki rahim.

Bagaimanapun ada kesan-kesan sampingan pengambilan pil perancang :
Saluran darah tersumbat – lebih ketara kepada orang yang merokok dan
mempunyai darah jenis A
Pening dan mual
Migraine
Muntah dan masalah-masalah perut
“Fluid retention” – cecair badan susah dibuang dari badan
Sakit kepala
Buah dada menjadi tegang
Tekanan (depression)
Tekanan darah naik
Turun atau naik berat badan

Selain daripada dapat mencegah kehamilan, pil perancang juga memberikan
kesan-kesan baik yang lain :

Pengeluaran darah haid berkurangan – ini membantu mengawal anaemia (kurang
darah)
Peredaran haid lebih teratur
Mengurangkan sakit semasa kedatangan haid
Mengurangkan risiko PID – Pelvic Inflammatory Disease
Mengurangkan masalah jerawat (terutamanya jenama Diane-35)
Mengurangkan risiko barah buah dada dan uterus
Mengurangkan risiko hamil luar rahim
Untuk yang berusia lanjut : hormon ini boleh melambatkan penuaan kulit,
mengekalkan nafsu seks dan mengawal kekeringan vagina. Ia juga boleh
mengawal pereputan tulang (osteoporosis)

Peringatan :
Ambil pada masa yang sama setiap hari
Ketahui apa yang perlu dibuat sekiranya terlupa mengambilnya, atau sekiranya
kali pertama anda ingin mengambilnya
Sesetengah anti-biotik tidak boleh diambil bersama-sama kerana antibiotik
tersebut akan mengurangkan keberkesanan hormon seperti estrogen, jadi akan
ada risiko kehamilan
Jenis yang lebih baru seperti Minulet, Mercilon, Gynera dan Marvelon
menyebabkan kurang kesan sampingan berbanding dengan yang lama
Sekiranya anda ada tekanan darah tinggi, kencing manis, migrain dan sawan
anda tidak digalakkan mengambil pil perancang

Pil perancang tidak memberi perlindungan terhadap penyakit seperti AIDS
Merokok semasa mengambil pil perancang boleh meningkatkan risiko mendapat
penyakit jantung.

Cara-cara lain perancang keluarga
1. Penggunaan Condom
2. Secara semulajadi
Anda boleh mengamalkan cara ini iaitu dengan melakukan hubungan kelamin
semasa anda tidak subur sahaja. Bagaimanapun peratus kejayaannya hanyalah
70% hingga 80%. Anda boleh menentukan waktu subur anda dengan cara-cara
berikut:
Kira waktu ovulasi (pengeluaran telur). Biasanya ia terjadi 14 hari selepas
hari pertama haid
Mengambil suhu badan. Suhu badan anda, periksa waktu pagi, meningkat pada
permulaan ovulasi
Melihat mukus faraj anda. Ia menjadi jernih dan nipis semasa ovulasi.
3. Diafragma dan Kep Servikal (Diaphragm and Surgical Cap)
Kaedah ini menghalang sperma memasuki serviks, jadi ia tidak akan bertemu
dengan telur yang dikeluarkan.
4. Spermasid
Bahan ini membunuh sperma.
5. Alat Kontraseptif dalam Rahim (Intra-Uterine Device, IUD)
Terdapat dua jenis IUD. Satu mengandungi kuprum dan yang satu lagi
melepaskan hormon wanita. Pemasangannya tidak begitu menyelesakan dan ada
kemungkinan berlaku jangkitan inflamasi pelvis.
6. Ligasi Tiub (Tubal Ligation)
Tiub Fallopian ditutup atau diputuskan.
7. Vasektomi (Pemandulan lelaki)
Saluran yang menyalurkan sperma lelaki diputuskan atau ditutup.
8. Norplant
Satu set tiub kecil dipasang di dalam lengan, di bawah kulit. Ia melepaskan
hormon yang mencegah telur menjadi matang. Kaedah ini tidak sesuai untuk
semua wanita.

Saya tidak mengambil sebarang pil/kaedah merancang keluarga berteknologi..hanya secara natural…kerjasama…tetapi di sini ada sedikit artikel mengenai pil noriday

 

artikel dipetik daripada akhbar..

PIL Noriday adalah satu-satunya pilihan jenis pil perancang yang tidak mengurangkan penghasilan susu ibu (di samping suntikan depot dan implan).
Namun, salah satu kesan sampingan yang mungkin didapati adalah gangguan haid yang lazimnya (jika berlaku) tidak teratur, kerap dan berpanjangan. Ini mungkin kurang sesuai untuk anda memandangkan anda menghidapi penyakit injap jantung reumatik.
Jika menjadi lebih teruk (haid banyak dan berpanjangan), lama- kelamaan ia menyebabkan keadaan kekurangan darah (anemia) dan membebankan jantung anda.
Pilihan kaedah perancang keluarga wanita berpenyakit jantung reumatik seperti anda memerlukan perbincangan lanjut dengan doktor masing-masing ke atas perkara berikut:

- Kepentingan merancang keluarga menggunakan kaedah berkesan. Setiap kehamilan memberi bebanan kepada jantung anda.
Jenis pil hormon berkombinasi sangat berkesan dan tidak menyebabkan gangguan haid, namun ia berisiko menyebabkan keadaan pembekuan darah dalam saluran vena sehingga menyumbat paru-paru (tromboembolisma) dan membahayakan nyawa.
Sungguhpun begitu, risiko tromboembolisma wanita jika hamil adalah jauh lebih tinggi berbanding risiko tromboembolisma wanita pengamal kaedah pil ini.

- Jenis pil satu hormon (Noriday, suntikan depot dan implan) kurang risiko tromboembolisma, namun ia mungkin menyebabkan peningkatan cecair badan sehingga membebankan ventrikel jantung.

- Jenis alat dalam rahim boleh menyebabkan risiko jangkitan dalam pelvis (PID) di kalangan dua peratus pengamalnya. Ia juga berisiko menyebabkan jangkitan pada jantung (endokarditis) namun sangat kecil (kurang daripada satu dalam sejuta pengamal).

- Kaedah kondom kurang mempunyai kesan sampingan namun ia sangat memerlukan kesungguhan (bukannya memakai hanya sekitar waktu subur). Hanya yang benar-benar bersungguh mengamalkannya boleh menggunakan kaedah ini.
Bagi wanita lain yang tidak mahukan lagi anak atau dinasihatkan tidak hamil lagi atas sebab kesihatan jantung, kaedah pemandulan melalui pembedahan mengikat saluran falopio (perempuan) atau vasektomi (lelaki) bolehlah dipilih.
Anda boleh berbincang dengan doktor mengenai perkara ini pada awal atau sebelum kehamilan akan datang. Usah tunggu hingga selepas kelahiran.

Related Posts with Thumbnails





CARI maklumat@yuitsumuni
Custom Search

DISCLAIMER

Artikel yang ditulis atau dikumpul sebelum tarikh 4 April 2010 adalah artikel yang terhasil/terkumpul dengan campur aduk perasaann tanpa pengetahuan yang sepatutnya.Namun entry dan artikel selepas 4 April 2010 adalah entry/artikel yang lebih menjurus kepada promosi susu ibu yang sebenar..selepas menyertai Malaysian Breastfeeding Peer Counselor(MBFPC) Training.

Protected by Copyscape Original Content Check